mutakhir

Huk alohhh... [METROTV]

Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi

“Anak menjemput penyanyi dikir yang juga kenalannya, namun kami tidak pula menyangka akan dipersembahkan dengan dikir gelek.

"Sebelum majlis diadakan, pengurus kumpulan dikir itu ada memberitahu mahu membuat persembahan yang saya fikir biasa sahaja," kata Mohamad, 58, (bukan nama sebenar).

Dia mengulas mengenai majlis menyambut menantu di rumahnya di Kampung Padang Tembusu, Tumpat malam semalam yang menjadi tular di laman sosial selepas dua penyanyi wanita berpakaian ketat bergelek mengikut irama dangdut membuat persembahan.

Difahamkan persembahan itu bermula jam 9 malam hingga 12 tengah malam disertai tujuh penghibur termasuk empat lelaki dan tiga wanita terbabit yang menyampaikan lagu dikir serta dangdut.

Mohamad berkata, sudah menjadi kebiasaan penduduk di kampung itu mengadakan kenduri kahwin dan sambut menantu dengan tetamu dihiburkan dengan persembahan kesenian.

Katanya, dia langsung tidak tahu akan ada tarian seperti itu dipersembahkan.

"Saya tidak tahu mereka sediakan tarian gelek kerana semuanya diuruskan kumpulan dikir itu,” katanya.

Sementara itu, seorang tetamu majlis itu yang mahu dikenali sebagai Hassan, 55, berkata, dia terkejut apabila mendapati terdapat tarian gelek dalam persembahan berkenaan.

"Saya datang sebab mahu melihat persembahan dikir barat kerana ini tradisi orang Kelantan. Tapi tak sangka pula ada juga tarian gelek dangdut.

"Sepatutnya, tuan rumah kena peka, kena tahu batas apa persembahan yang boleh dipertontonkan," katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Tumpat, Rosnazli Amin berkata, persembahan yang diadakan itu tidak mendapat permit daripada pihak berkuasa tempatan.

Walaupun hanya merupakan persembahan yang diadakan di majlis perkahwinan termasuk karaoke, ia juga mesti mendapat kebenaran pihak berkuasa.

"Seharusnya tuan rumah yang menjadi penganjur majlis itu menegah sesuatu yang bercanggah dengan syiar Islam kerana perkahwinan adalah ibadah dan untuk mendapatkan keredaan Allah," katanya.

Disiarkan pada: July 9, 2017 @ 11:30pm
d