mutakhir

'Kenapa buat adik macam ini'

Kuala Lumpur: “Apa salah adik kami sehingga diperlakukan begitu kejam? Kalau nak ambil barang dalam rumah kami, ambillah tapi kenapa buat adik macam ini,” kata Nuratikah Asshaari, 22, kakak kepada Syazana Amirah, 14, yang mengalami retak tengkorak kepala dan patah rahang akibat dibelasah penyamun yang menceroboh rumah mereka di Kampung Masjid, Bangi pada Jumaat lalu.

Dalam kejadian itu, Syazana ditemui ibunya Siti Rafiah Mansor, 48, dalam keadaan terbaring berlumuran darah di atas katil dengan kecederaan di kepala, dagu dan mulut ketika pulang dari tempat kerja jam 11.15 pagi.

Nuratikah berkata, dia mendapat tahu mengenai kejadian menimpa adik bongsunya apabila rakan sepejabat menyuruhnya pulang ke rumah kerana ada kecemasan.

“Saya menjadi tidak sedap hati apabila rakan memberitahu jirannya datang ke pejabat lalu bergegas pulang ke rumah. Dalam fikiran saya hanya fikirkan adik kerana dia berada di rumah seorang diri, manakala kami semua keluar bekerja.

“Sebaik tiba di rumah, saya mendapati katil adik dipenuhi darah dan diberitahu Syazana sudah dibawa ke hospital. Hanya Allah saja tahu perasaan saya ketika itu apabila melihat darah begitu banyak,” katanya ketika ditemui di Unit Rawatan Rapi (ICU) Kaji Saraf, Hospital Kuala Lumpur (HKL), semalam.

Nuratikah berkata, dia dimaklumkan ada saksi melihat kehadiran dua lelaki menaiki sebuah motosikal model EX-5 berwarna merah tanpa memakai topi keledar berhampiran kawasan rumahnya dalam keadaan mencurigakan.

“Salah seorang daripada mereka memasuki rumah, manakala seorang lagi menunggu di hadapan rumah jiran lain. Lelaki yang berada di luar menyedari ada penduduk memerhatikan kegiatan mereka dari atas bukit sebelum bertindak memanggil rakannya dan beredar,” katanya.

Disiarkan pada: July 10, 2017 @ 7:17am
d