mutakhir

Usah pandang remeh AMS

Kuala Lumpur: Pening kepala ketika berada pada tahap ketinggian tertentu antara simptom utama Akut Gunung atau Altitude Mountain Sickness (AMS) dan ia sering dialami ramai pendaki gunung.

Walaupun ada yang menganggap akut gunung perkara biasa namun hakikatnya ia tidak boleh dipandang remeh kerana tanpa rawatan awal dapat menjejaskan nyawa pendaki.

Menurut Pakar Perubatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur, Datuk Dr Alzamani Mohammad Idrose, sindrom akut gunung boleh dialami oleh sesiapa saja termasuk pendaki berpengalaman tanpa mengira usia muda atau tua.

Kata beliau, AMS biasanya berlaku apabila seseorang itu berada pada ketinggian melebihi 3,000 meter (m) dan antara simptom utamanya adalah sakit kepala.

“Pada tahap berkenaan, paras oksigen berkurangan dan turut menjejaskan fungsi badan. Jika disusuli dengan sesak nafas, sakit perut atau muntah berterusan, ia sudah menghampiri tahap teruk.

“Selain bantuan ubat-ubatan tertentu, rawatan terbaik adalah dengan segera turun ke paras lebih rendah bagi mendapatkan bekalan oksigen secukupnya,”katanya.

Jelas Alzamani lagi, AMS boleh menyebabkan kematian jika ia membabitkan paru-paru berair atau High Altitude Pulmonary Ederma (HAPE).

Selain itu, kematian juga boleh berlaku jika ada pengumpulan cecair di dalam otak yang dikenali sebagai High Altitude Cerebral Ederma (HACE).

“Peratusan oksigen dalam udara biasanya adalah 21 peratus tetapi pada ketinggian melebihi 3,000 meter, ia semakin berkurangan.

“Untuk mengatasi masalah itu, penyesuaian kepada tahap altitud perlu dilakukan dan ia penting kerana badan memerlukan masa untuk menyesuaikan diri sepenuhnya dengan peningkatan ketinggian altitud,” katanya pada sesi bual bicara mengenai AMS anjuran Persatuan Kembara Negara (NAA) di ibu negara, semalam.

Hadir sama, Timbalan Presiden NAA Ahmad Fakhri Abu Samah dan Pengarah Projek Kembara Srikandi Prihatin (KSP)-Kembara Negaraku, Ummu Farah Haidar Zulkifli.

Program itu disertai hampir 100 penggemar sukan mendaki gunung termasuk empat ahli pasukan KSP yang akan melaksanakan misi amal menawan puncak tertinggi Eropah, Gunung Elbrus, Russia, Ogos ini.

Pelbagai perkongsian ilmu disediakan sepanjang program berlangsung merangkumi pengenalan simptom AMS, cara mengatasi, persediaan ubat-ubatan dan banyak lagi.

Selain itu, peserta turut berpeluang mempelajari cara bagaimana mengerjakan ibadat ketika mendaki gunung terutama jenis bersalji yang disampaikan Penolong Mufti (Buhuth) Bahagian Fatwa Jabatan Mufti Negeri Selangor, Khairiamri Ahmad.

Disiarkan pada: July 10, 2017 @ 7:27am
d