mutakhir

MAB mampu dapat 5 bintang Skytrax [METROTV]

Oleh Hayati Ibrahim

PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Razak yakin Malaysia Airlines Berhad (MAB) mampu mencapai penarafan lima bintang Skytrax menjelang 2018 berikutan pelan pemulihan syarikat berkenaan kini berjalan lancar mengikut jadual.

Beliau berkata, fasa pertama pelan pemulihan itu iaitu menstabilkan kewangan MAB sudah sudah dicapai.

"Saya dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif MAB, Peter Bellew menjangkakan keadaan kewangan MAB lebih baik tahun depan.

"Sekarang kita memberi tumpuan kepada fasa kedua termasuk penambahan 11 laluan baru dari China, selain melihat kepada perbezaan produk seperti hidangan dan hiburan dalam penerbangan, serta kualiti pesawat," katanya ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Raya Malaysia Aviation Group (MAG) di Sepang, hari ini.

Skytrax adalah sistem penarafan penerbangan global bagi produk dan perkhidmatan, keselamatan, selain turut menjadi penanda aras untuk piawaian penerbangan.

Pada majlis itu, Najib turut melancarkan logo 'Negaraku' pada pesawat 737-800 milik MAB sebagai inisiatif ‘Negaraku’, yang diumumkan MAB Mei lalu bertujuan memupuk semangat patriotik dalam kalangan rakyat di seluruh negara.

Turut hadir Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Liow Tiong Lai; Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi; Pengerusi MAG Tan Sri Md Nor Yusof dan Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad Tan Sri Azman Mokhtar.

Sementara itu, Bellew berkata, selain pesawat B737-800, Malaysia Airlines Group juga akan memaparkan logo Negaraku pada badan pesawat ATR-72-500 bersama MASwings dan Firefly serta pada pesawat Airbus baharu A350 yang dijangka akhir tahun ini.

"Sebagai keluarga Malaysia Airlines, kami bekerja keras untuk membina semula syarikat penerbangan ini, sekali gus menjadikannya kebanggaan negara.

"Sebagai syarikat penerbangan nasional kami amat berbangga untuk membawa logo Negaraku ke seluruh negara bagi pihak setiap rakyat Malaysia," katanya.

Disiarkan pada: July 10, 2017 @ 3:26pm
d