mutakhir

Geng Kelvin tumpas

Oleh Mohd Ruzaini Zulkepli

POLIS berjaya menahan tujuh individu termasuk tiga wanita yang menganggotai 'Geng Kelvin' selepas disyaki terbabit 19 kes pecah rumah dan melarikan kenderaan sehingga menyebabkan kerugian hampir RM800,000 dalam tangkapan berasingan pada 4 Julai lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din berkata, semua suspek yang berusia antara 21 hingga 40 tahun itu ditahan di dua rumah berasingan di Taman Nelly Kolombong, di sini, dan sebuah lokasi awam dalam serbuan bersempena satu operasi khas bermula jam 2 pagi hingga 11.50 malam.

Beliau berkata, turut ditahan dalam serbuan itu adalah seorang lelaki berusia 37 tahun dikenali sebagai 'Kelvin' yang dipercayai ketua kepada kumpulan jenayah berkenaan.

"Bertindak atas maklumat dan risikan, kita berjaya melakukan tiga serbuan berasingan di Taman Nelly Kolombong serta sebuah lokasi awam sebelum berjaya menahan ketujuh-tujuh suspek terbabit.

"Semua suspek berusia 21 hingga 40 tahun itu terdiri daripada empat lelaki dan tiga wanita di mana mereka disyaki terbabit dengan 19 kes pecah rumah dan larikan kenderaan sehingga menyebabkan kerugian hampir RM800,000," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, hari ini.

Hadir sama Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Razaruddin Husain dan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra.

Mengulas lanjut, Ramli berkata, rampasan dan tangkapan itu adalah kejayaan terbesar pada tahun ini membabitkan jenayah pecah rumah serta curi kenderaan.

"Hasil kejayaan tangkapan semua suspek, kita juga berjaya merampas beberapa peralatan seperti barangan elektronik, telefon bimbit, empat kenderaan dan 16 beg tangan yang bernilai RM300,000.

"Siasatan awal turut mendapati kes pecah rumah yang dilakukan Geng Kelvin ini dilakukan di sekitar Kota Kinabalu manakala aktiviti curi kenderaan pula di beberapa daerah lain seperti Beaufort dan Sandakan.

"Dalam tangkapan ini juga, lima daripada suspek yang ditahan turut didapati positif dadah selain penemuan syabu seberat 0.29 gram dalam serbuan di rumah berkenaan," katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan selain Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Disiarkan pada: July 10, 2017 @ 6:01pm
d