mutakhir

Dendam duit bekas kekasih

Oleh Siraj Mohd Zaini

Klang: Dendam akibat hal berkaitan kewangan antara faktor seorang lelaki memasang bom buatan sendiri pada bampar kereta bekas kekasihnya yang juga jururawat di Taman Damai, Kapar di sini, Sabtu lalu.

Motif itu dikenal pasti hasil penahanan suspek yang juga lelaki berusia 28 tahun di sebuah rumah di Taman Petaling Indah, pada serbuan polis jam 3.30 pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, pemeriksaan di ruang tamu rumah itu menemui beberapa alat elektronik selain mercun.

“Semua bahan itu disyaki digunakan untuk membuat bahan letupan Improvised Explosive Device (IED) yang diletak pada bampar kereta mangsa. Siasatan mendapati suspek bekas penuntut kolej swasta dalam bidang elektronik pada 2006 dan pernah bekerja sebagai jurujual di sebuah kedai elektrik.

“Selain itu, suspek juga mengaku bekas kekasih mangsa dan mereka bertelingkah kerana hal berkaitan kewangan,” katanya.

Pada kejadian jam 10 malam, wanita berusia 27 tahun berkenaan memandu dari klinik tempatnya bekerja di Kapar untuk pulang ke rumah sebelum terdengar bunyi ‘beep, beep, beep’ daripada dalam keretanya.

Bapa saudaranya melakukan pemeriksaan sebelum menemui objek bersaiz botol air mineral kecil (500ml) yang diubah suai seperti bahan letupan dilekatkan pada bampar kereta mangsa.

Disiarkan pada: July 11, 2017 @ 6:37am
d