mutakhir

Turun ceruk rantau berdakwah

Oleh Muhamaad Razis Ismail

Kota Bharu: Setiap bulan antara dua hingga tiga kali dia akan memasuki kawasan pedalaman di sekitar Gua Musang untuk menjalankan aktiviti sukarelawan bersama Orang Asli.

Aktiviti itu dianjurkan kerana minat mendalam Siti Zulaiha Ghazali, 23, bersama kakitangan dan sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islamic Outreach ABIM (IOA) Kelantan biarpun terpaksa berkorban masa, tenaga dan wang ringgit.

“Setiap bulan, kami, kira-kira 30 kakitangan dan sukarelawan IOA akan ke kawasan pedalaman di sekitar negeri ini untuk bertemu sendiri dengan Orang Asli dan mendekati mereka.

“Biasalah apabila masuk ke kawasan pedalaman, kita terpaksa melalui jalan balak. Jika hujan, perjalanan akan mengambil masa yang lebih lama namun ia tidak pernah mematahkan semangat kami.

“Tujuan utamanya untuk dekati mereka dan kita menggunakan pendekatan dakwah bilhal dengan menunjukkan contoh yang baik serta menjalankan pelbagai aktiviti untuk merapatkan hubungan dengan mereka,” katanya ketika ditemui di Pusat Latihan & Dakwah Orang Asli IOA Kelantan, Kok Lanas, di sini.

Menurutnya, kebiasaannya mereka memperuntukkan antara dua hingga tiga hari setiap kali memasuki satu-satu perkampungan dan menjalankan pelbagai aktiviti bersama Orang Asli termasuk menjalankan kelas fardu ain, nasyid dan sebagainya.

“Saya juga gunakan bahasa Temiar untuk memudahkan berkomunikasi dengan masyarakat setempat di situ.

“Pada saya, dengan menguasai bahasa ini, selain dapat mengatasi masalah dalam komunikasi, kita juga dapat menjalin hubungan dengan lebih baik,” katanya.

Siti Zulaiha berkata, pembabitannya dengan IOA bermula selepas menyertai seminar yang dianjurkan oleh NGO itu pada 2013.

“Sejak itu, saya menjadi sukarelawan dengan menyertai pelbagai aktiviti kesukarelawanan termasuk ziarah rumah orang tua, rumah anak-anak yatim dan sebagainya sehingga menjadi kakitangan tetap di sini.

“Saya bersyukur ahli keluarga memberi sokongan sepenuhnya untuk terus bergiat aktif dengan IOA,” katanya.

Perkara sama turut diakui oleh Pegawai Eksekutif IOA Mohd Izwan Che Din, 30, yang turut bergiat aktif dengan IOA sejak 2007.

“Memang 24 jam, saya peruntukkan masa menjalankan pelbagai aktiviti dengan IOA yang bukan hanya terhad kepada Orang Asli, malah kita turut membantu mualaf yang baru memeluk Islam dan aktiviti kemasyarakatan lain.

“Saya berasa puas apabila melihat segala aktiviti yang dijalankan mendapat sambutan biarpun terpaksa berkorban masa, tenaga dan wang ringgit,” katanya.

Disiarkan pada: July 11, 2017 @ 7:17am
d