mutakhir

'Separuh nyawa saya hilang'

Oleh myMetro

Shah Alam: “Bagaikan hilang separuh nyawa namun saya perlu kuat untuk berdepan dan melakukan segala-galanya demi anak,” kata Mohd Azami Abu, 34, yang kehilangan isteri tercinta yang meninggal dunia akibat injap jantung sempit, pada hari pertama Aidilfitri.

Mohd Azami yang berniaga aneka makanan bergoreng di Seksyen 7 di sini, tular dan mendapat perhatian netizen selepas kisahnya dan isteri, Allahyarham Fausiah Musji, 32, dimuat naik pengguna laman sosial Facebook (FB) yang menggunakan nama Ahmad Faizal Murtadza.

Ahmad Faizal melalui status FB itu mengajak orang ramai membeli makanan seperti keropok lekor, pisang goreng dan cucur di gerai itu bagi membantu Mohd Azami yang perlu menyara empat anak berusia setahun hingga 10 tahun.

Mohd Azami berkata, mereka berniaga sejak 2008 dan kehilangan wanita itu amat dirasainya kerana tidak pernah berpisah selain kebanyakan kerja di gerai dilakukan oleh arwah.

“Kami tiada pembantu dan semua kerja seperti menyediakan bahan serta menggoreng dibuat oleh arwah isteri. Saya hanya sibuk melayan pelanggan dan jika seorang daripada kami sakit, kami akan menutup perniagaan hari itu,” katanya.

Menurut Mohd Azami, dia memulakan perniagaan sejak Rabu lalu mengakui agak kekok bekerja tanpa isteri namun perlu berusaha untuk anak-anaknya.

Disiarkan pada: July 11, 2017 @ 7:24am
d