mutakhir

Usah polemikkan isu pelantikan hakim

Oleh Nursyahirah Marzuki

“SEMUA pihak diminta berhenti mempolemikkan isu pelantikan hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan,” kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau dalam satu kenyataan berkata, pelantikan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Md Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin adalah berdasarkan Fasal (1A) Perkara 122 Perlembagaan Persekutuan.

"Peruntukan ini jelas menyatakan pelantikan hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan adalah kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong atas sembah nasihat Ketua Hakim Negara pada satu masa.

"Pelantikan kedua-dua mereka dibuat atas sembah nasihat Ketua Hakim Negara sebelum ini, Tun Ariffin Zakaria kepada Yang di-Pertuan Agong pada 30 Mac lalu iaitu ketika beliau masih lagi menyandang jawatan sebagai Ketua Hakim Negara," katanya.

Katanya, pelantikan itu juga bukan perkara baru kerana amalan itu pernah berlaku sebelum ini pada 2016 apabila bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Jeffrey Tan Kok Hwa dilantik semula bagi tempoh dua tahun.

"Malah, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri S Chelvasingam Maclntyre juga pernah dilantik semula sebagai hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan pada 1965.

"Selain itu, Perlembagaan Persekutuan juga tidak menghalang untuk mana-mana hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan yang dilantik untuk terus menyandang sesuatu jawatan.

Azalina berkata, beliau juga berpendapat kepakaran dan pengalaman yang dimiliki kedua-dua mereka diperlukan Badan Kehakiman Negara.

"Oleh itu, saya berharap isu pelantikan ini tidak dipolitikkan dan pada masa sama saya berharap semua pihak menghormati pelantikan yang sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong sekali gus membenarkan mereka untuk terus mempertabatkan Badan Kehakiman Negara.

"Bagaimanapun, mana-mana pihak yang berpendapat pelantikan Ketua Hakim Negara adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan boleh membawa perkara itu ke mahkamah mengikut undang-undang sedia ada," katanya.

Baru-baru ini, Ketua Hakim Negara, Tan Sri Md Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin dilantik hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan.

Md Raus dilantik ke jawatan itu untuk tempoh tiga tahun mulai 4 Ogos ini dan akan terus memegang jawatan Ketua Hakim Negara mulai tarikh dan tempoh sama.

Sementara Zulkefli Ahmad akan menggalas jawatan berkenaan untuk tempoh dua tahun mulai 28 September ini, selain meneruskan jawatan sedia ada bagi tempoh sama.

Disiarkan pada: July 11, 2017 @ 12:11pm
d