mutakhir

Kes Mohd Thaqif diklasifikasikan semula

Oleh Mohd Hasbi Sidek

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan merujuk kepada Timbalan Pendakwaraya bagi mengklasifikasikan semula siasatan kematian pelajar tahfiz Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi

Ini susulan laporan bedah siasat dikeluarkan mendapati punca kematian kanak-kanak 11 tahun itu disebabkan jangkitan air kencing tikus atau leptospirosis.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, ekoran punca kematian disebabkan jangkitan berkenaan, siasatan tidak diteruskan mengikut Seksyen 302.

"Kita mengklasifikasikan semula siasatan kes ini. Polis akan merujuk Timbalan Pendakwaraya dengan cadangan seksyen disiasat mendatangkan kecederaan.

"Yang pastinya kita akan memastikan kes ini pergi kes majistret untuk dibicarakan," katanya.

Keputusan bedah siasat yang dikeluarkan pada 5 Julai lalu mendapati kematian Mohamad Thaqif berpunca akibat penyakit kencing tikus atau leptospirosis dan bukannya trauma atau kecederaan.

Sebelum ini seorang pembantu warden madrasah tahfiz yang disyaki mendera murid itu dibebaskan dengan jaminan bon mahkamah RM20,000 pada 3 Mei lalu.

Lelaki berkenaan ditahan pada 22 April berhubung siasatan kematian Mohamad Thaqif.

Disiarkan pada: July 11, 2017 @ 2:32pm
d