mutakhir

Polis yang sepatutnya beritahu

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

KEMENTERIAN Kesihatan menegaskan polis yang sepatutnya memaklumkan perkembangan terkini siasatan kematian pelajar madrasah tahfiz Al-Jauhar, Allahyarham Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi, 11, kepada keluarga mangsa dan bukan pihaknya.

Menterinya Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, kes kematian itu sudah menjadi kes polis, justeru terpulang kepada polis untuk memaklumkan kepada keluarga mangsa atau tidak.

Beliau berkata, jika bukan kes polis, pihaknya sudah pasti memaklumkan perkembangan kes itu kepada keluarga mangsa terlebih dahulu.

"Kerana ia kes polis, semua hasil siasatan dan perkembangan kes diberi kepada polis.

"Ini bukan situasi normal, jika situasi biasa (normal) kami akan maklum kepada mereka (keluarga mangsa) dahulu," katanya yang ditemui pada Majlis Ramah Mesra bersama warga Kementerian Kesihatan Perkarangan di Putrajaya hari ini.

Menurutnya, pihaknya berpendapat jika polis yakin maklumat itu tidak menjejaskan siasatan, ia terpulang kepada pihak berkenaan untuk maklumkan perkembangan siasatan kes itu kepada keluarga mangsa.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan semalam, memaklumkan laporan bedah siasat dikeluarkan 5 Julai lalu, mendapati kematian Allahyarham Mohamad Thaqif akibat penyakit kencing tikus atau leptospirosis, bukannya trauma dan kecederaan.

Perkembangan terbaru itu menimbulkan rasa tidak senang hati keluarga mangsa, malah terkilan kerana pihak kementerian tidak memaklumkan perkembangan siasatan kes kepada mereka terlebih dahulu sebaliknya hanya diketahui melalui media.

Dalam perkembangan sama, Dr Subramaniam berkata, kementerian tidak menolak kemungkinan melakukan tinjauan di sekolah itu termasuk kawasan berhampiran bagi melihat risiko jangkitan berkenaan.

Disiarkan pada: July 11, 2017 @ 4:19pm
d