mutakhir

Apasal pulak tiba-tiba 'overtime'

Oleh Siraj Mohd Zaini

POLIS masih menyiasat pembabitan tiga lelaki warga Pakistan yang bekerja lebih masa dalam kes rompakan wang tunai berjumlah kira-kira RM300,000 di sebuah pasar raya di Seksyen 15, Shah Alam di sini, semalam.

Semua suspek berusia 33 tahun hingga 34 tahun yang ditahan sejurus kejadian direman lima hari bermula semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, pihaknya masih menyiasat ketiga-tiga suspek yang memberi alasan bekerja lebih masa ketika kejadian.

“Selepas kertas siasatan dilengkapkan, kita akan mengemukakannya kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk premis,” katanya, tadi.

Pada kejadian yang disedari pengurus pasar raya kira-kira jam 7.30 pagi semalam, tiga peti besi dan satu mesin deposit tunai (CDM) yang dianggarkan berisi RM300,000 dipecahkan penjenayah.

Penjenayah dikatakan menyusup masuk menerusi tingkat atas premis itu sebelum menggunakan peralatan khas untuk menebuk peti berkenaan.

Pemeriksaan menemui beberapa kesan cap jari di siling laluan masuk premis berkenaan.

Selain itu, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati, seorang lelaki masuk melalui tingkat atas premis jam 11.47 malam dan dilihat keluar, jam 5.51 pagi.

Ketika kejadian, tiada pengawal keselamatan tetap bertugas dan premis hanya dikawal tiga lelaki Pakistan terbabit.

Disiarkan pada: July 11, 2017 @ 5:44pm
d