mutakhir

Anak dengan bapak direman SPRM

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka menahan dua pegawai kanan Pusat Pembangunan Kemahiran Perindustrian Melaka (MISDEC) hari ini, kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dengan meluluskan pemindahan wang syarikat ke akaun peribadi mereka.

Dua beranak berusia 76 tahun dan 43 tahun itu masing-masing memegang jawatan Pengurus Eksekutif dan Pengurus Unit Pentadbiran dan Kewangan di syarikat berkenaan.

Sumber berkata, dua suspek itu dipercayai menyalahgunakan kuasa dan jawatan mereka dengan meluluskan dan memindahkan kira-kira RM4 juta wang milik MISDEC ke akaun peribadi mereka sejak 2014 hingga 2015.

“Hasil siasatan SPRM mendapati, pemindahan wang milik MISDEC ke akaun syarikat milik mereka berdua dilakukan menerusi beberapa keping cek yang nilainya mencecah kira-kira RM4 juta,” katanya.

Katanya, SPRM sudah menyita hampir RM600,000 dalam akaun syarikat itu selain merampas sebuah pacuan empat roda dan perkakasan syarikat bernilai hampir RM350,000.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan dan berkata, pasukan penyiasat masih dalam proses mengumpul bukti berkaitan kes.

Disiarkan pada: July 11, 2017 @ 6:07pm
d