mutakhir

Laki bini pulak direman SPRM

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

SUAMI kepada penolong pegawai pertanian di Seremban ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini, selepas dipercayai bersubahat dengan isterinya itu bagi menyelenggara projek pertanian bernilai RM30,000.

Lelaki berusia 31 tahun terbabit ditahan ketika hadir ke pejabat SPRM di Seremban, bagi memberi keterangan jam 4.13 petang ini.

Suspek yang bekerja sebagai kontraktor disyaki bersubahat dengan isterinya yang bekerja sebagai penolong pegawai pertanian di sebuah pusat pertanian di Sendayan untuk mendapatkan projek menyelenggara sistem pengairan herba bernilai RM10,100 dan projek menyelenggara Nurseri Herba bernilai RM19,900.

Pengarah SPRM Negeri Sembilan Ramli Ismail ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan berkata, suspek akan dibawa ke Mahkamah Khas Reman Seremban bagi permohonan reman, esok.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Katanya, isteri suspek berusia 34 tahun kini direman SPRM bagi membantu siasatan salah guna kuasa melantik suaminya itu bagi menyelenggara projek berkenaan.

Wanita terbabit direman selama enam hari bermula Jumaat lalu dan berakhir esok.

Disiarkan pada: July 11, 2017 @ 7:21pm
d