mutakhir

Jangan ingat pintu tak boleh dibuka [METROTV]

Oleh Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail

KHIDMAT anggota bomba terpaksa digunakan dalam Op Cantas Khas di Flat Taman Selayang Makmur, berhampiran Pasar Borong Selayang malam semalam selepas beberapa penghuni enggan membuka pintu.

Kawasan perumahan kos rendah yang dihuni kira-kira 1,200 warga asing dipercayai Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) itu digempur berdasarkan risikan dan aduan daripada orang ramai yang mengadu banyak aktiviti mencurigakan di kawasan itu.

Anggota polis terpaksa meminta bantuan anggota bomba yang menggunakan peralatan khas untuk membuka pintu beberapa rumah.

Polis dan anggota bomba mengambil masa hampir setengah jam untuk membuka pintu rumah yang dihuni wanita warga Myanmar dengan peralatan khas selepas wanita itu enggan menuruti arahan pihak berkuasa untuk membuka pintu.

Sebaik pintu berjaya dipecahkan, seorang wanita berusia lingkungan 20-an berada dalam sebuah bilik di rumah itu dan pemeriksaan pasport miliknya mendapati pas lawatannya sudah tamat tempoh. Anggota bomba turut memotong kunci mangga jeriji sebuah rumah apabila penghuninya enggan bekerjasama.

Pemeriksaan dalam rumah itu mendapati ada lelaki dan wanita dipercayai kekasih dan seorang wanita yang semuanya warga Vietnam berada dalam bilik masing-masing.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, seramai 69 warga asing ditahan daripada 231 individu yang diperiksa di tiga blok rumah di kawasan flat itu serta kawasan Pasar Borong Selayang.

Menurutnya, warga asing yang ditahan terdiri daripada 59 lelaki dan 10 perempuan dengan warga Myanmar menunjukkan jumlah tangkapan teramai iaitu 41 orang, diikuti 16 warga Indonesia, tujuh warga India dan lima warga Bangladesh.

"Seorang lelaki tempatan ditahan mengikut Seksyen 55E (1) Akta Imigresen kerana membenarkan PATI masuk dan tinggal di premisnya. Selain itu, 55 individu didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen dan 14 individu mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen.

"Semua yang ditahan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk siasatan lanjut," katanya.

Disiarkan pada: July 11, 2017 @ 7:44pm
d