mutakhir

Ketum rampasan paling banyak

Oleh Aizat Sharif

SEBANYAK 3,779 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM302,320 dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara di kawasan sempadan Malaysia -Thailand sepanjang Op Wawasan Kedah/Perlis yang berlangsung selama tiga minggu mulai 18 Jun lalu.

Komander PGA Briged Utara Senior Asisten Komisioner Mohd Shahar Hashim berkata, rampasan berkenaan adalah tertinggi dalam tempoh tiga minggu sejak anggota PGA Batalion Ke-3 dari PGA Bidor ditugaskan mengawasi sempadan negara di Perlis dan Kedah.

“Rampasan terbesar daun ketum ialah 510 kg bernilai RM40,800 pada 2 Julai lalu di Kampung Kolam, Kampung Melayu Padang Besar dan Felcra Lubuk Sireh sekitar Padang Besar.

“Empat lelaki tempatan berusia antara 20 hingga 30-an yang disyaki penyeludup daun ketum juga ditahan,” katanya di Markas Taktikal (MARTAK) PGA di Bukit Kayu Hitam, hari ini.

Menurutnya, daun ketum mendapat permintaan tinggi di Thailand dengan satu kilogram dijual dengan harga RM80 sedangkan di negara ini, hanya antara RM8 hingga RM12.

Mohd Shahar berkata, dalam tempoh tiga minggu operasi itu, PGA merampas minuman keras yang tidak dibayar cukai bernilai RM5,310, tujuh kenderaan termasuk motosikal bernilai RM30,000 yang disyaki dicuri.

Pihaknya juga menahan 51 pendatang asing dari Myanmar dan Kemboja serta tiga tekong darat rakyat tempatan kerana cuba menyeludup pendatang itu.

Disiarkan pada: July 11, 2017 @ 7:51pm
d