mutakhir

Ribut di FELDA Jenderak Utara

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

LIMA rumah serta sebuah sekolah rosak dalam kejadian ribut di FELDA Jenderak Utara dekat Kuala Krau, Temerloh, hari ini.

Dalam kejadian 5.30 petang itu, rumah dan sekolah berkenaan rosak pada bumbung akibat diterbangkan angin kencang.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang Kolonel (PA) Zainal Yusoff berkata, sekolah yang terjejas adalah Sekolah Kebangsaan FELDA Jenderak Utara.

"Sebahagian bumbung di tiga blok sekolah berkenaan membabitkan bangunan utama, perpustakaan dan stor mengalami kerosakan teruk.

"Namun kejadian tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa mahupun kecederaan kerana difahamkan ketika kejadian tiada murid berada di sekolah berikutan sesi pembelajaran sudah tamat," katanya.

Katanya, pihaknya juga menerima beberapa laporan pokok tumbang namun tidak membabitkan kecederaan kepada orang awam.

"Kita masih lagi memantau keadaan semasa berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu.

"Buat masa ini mangsa yang terbabit tidak dipindahkan kerana rumah berkenaan masih boleh diduduki namun kita bersiap sedia untuk memindah mangsa sekiranya keadaan memerlukan," katanya.

Beliau berkata, APM mendapat bantuan pihaknya dibantu beberapa agensi lain antaranya Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, polis serta Tenaga Nasional Berhad.

Disiarkan pada: July 11, 2017 @ 11:16pm
d