mutakhir

Tauke pasu cadang nama [METROTV]

Oleh Nabihah Kamal

Cheras : “Ketika mahu memulakan perniagaan, tauke pasu bunga bertanya tujuan saya beli pasu bunga bersaiz besar dalam jumlah yang banyak.

“Saya beritahu ia untuk masak ayam. Justeru, dia beri cadangan letak nama Ayam Ali Baba dan sehingga kini nama itu saya gunakan,” kata peniaga ayam panggang Rusilah Abdul Rashid, 55.

Uniknya ayam panggang dijual Rusilah, makanan itu dipanggang di dalam pasu manakala ramuannya dicampur herba.

Rusilah yang berniaga di Jalan Suakasih, Bandar Tun Hussein Onn, sejak bulan Ramadan lalu kini mampu menjual lebih 80 ayam panggang sehari.

“Idea menjual ayam panggang dengan kaedah memanggang di dalam pasu bermula apabila cucu mengadakan majlis akikah dan kami menempah ayam yang dimasak dalam pasu daripada seorang rakan.

“Selepas itu, saya mula menggunakan resipi sendiri termasuk dicampur herba untuk perap ayam dan menggunakan kaedah memanggang ayam di dalam pasu,” katanya.

Rusilah berkata, pasu yang digunakan hanya pasu bunga biasa dan campuran herba digunakan daripada herba organik.

“Kami gunakan halia, serai, madu dan daun herba seperti Thyme serta Rosemary dan ayam diperap selama satu malam.

“Selepas itu, ayam dipanggang di dalam pasu selama 40 minit,” katanya.

Menurut Rusilah, ramai yang memberi reaksi positif terhadap Ayam Ali Baba, antaranya rasa dan teksturnya yang lembut.

“Kebiasaannya jam 3 petang sudah habis. Ramai yang datang bukan saja dari Kajang, malah Rawang, Selayang dan Klang sanggup datang untuk mencuba,” katanya.

Disiarkan pada: July 12, 2017 @ 4:10pm
d