mutakhir

Pegawai KPDNKK, peniaga direman lima hari

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

MAHKAMAH Majistret Johor Bahru hari ini, membenarkan tiga pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri Johor dan seorang pengusaha gas tanpa lesen direman lima hari bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah.

Majistret Salina Omar mengeluarkan perintah tahanan reman itu bermula hari ini, selepas membenarkan permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tempoh tahanan reman itu dibenarkan bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat terhadap semua suspek lelaki berusia antara 30 hingga 50 tahun itu mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Terdahulu, semua suspek tiba di mahkamah kira-kira 2.40 petang diiringi anggota SPRM dengan berpakaian lokap SPRM berwarna jingga.

Semalam, tiga pegawai KPDNKK itu ditahan di pejabat KPDNKK Johor Bahru dan pejabat KPDNKK Kota Tinggi antara 8 pagi hingga 10 pagi, manakala pengusaha gas memasak tanpa lesen itu ditahan di rumahnya di Kulai, Johor kira-kira 8.20 pagi.

Siasatan awal mengesyaki wang rasuah yang diberi pengusaha gas tanpa lesen itu dimasukkan ke dalam akaun syarikat milik saudara kepada seorang pegawai KPDNKK terbabit sebelum diagihkan.

Wang rasuah berkenaan dibayar kepada pegawai KPDNKK sebagai wang perlindungan supaya tindakan tidak diambil terhadap pengusaha gas haram terbabit yang melakukan kesalahan di bawah Akta Bekalan 1961.

Disiarkan pada: July 12, 2017 @ 4:55pm
d