mutakhir

KSCIP di Presint 12

Oleh Nursyahirah Marzuki

PUSAT Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) akan dibina di Presint 12, Putrajaya.

Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Seri Hasim Ismail berkata, lokasi pembinaan bangunan yang berperanan untuk menangani isu ekstremisme dan kumpulan militan Daish itu dilihat sangat strategik.

"Tanah di Presint 12 itu adalah hak milik Putrajaya Holdings Sdn Bhd (PJH). Bagaimanapun, kerajaan boleh mendapatkan tanah terbabit melalui dua cara.

"Pertama, ia boleh dibuat menerusi pembelian atau kedua, kerajaan boleh mengambil alih terus tanah berkenaan," katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Projek Tanaman Cili dan Rock Melon Secara Usahasama di Taman Wetland di Putrajaya, hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kerajaan bersetuju membina KSCIP di atas tanah seluas kira-kira 16 hektar di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

KSCIP yang diumumkan penubuhannya pada Februari lalu ketika lawatan rasmi Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdul Aziz Al-Saud memulakan operasinya pada 30 Mei lalu.

Pusat berkenaan sudah memulakan operasinya di pejabat sementara di Kuala Lumpur.

Terdahulu, Hasim turut merasmikan Projek Tanaman Cili dan Rock Melon Secara Usahasama di Taman Wetland untuk menjadikan Putrajaya sebagai salah satu lokasi utama projek tanaman cili dan rock melon.

Disiarkan pada: July 12, 2017 @ 5:41pm
d