mutakhir

Industri arkeo-pelancongan perlu diberi perhatian

Oleh Hairie Norli

RAMAI belum sedar potensi sebenar industri arkeo-pelancongan, sedangkan di peringkat global ia menjadi satu industri besar dan mampu menjana pendapatan negara.

Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Datuk Dr Moktar Saidin berkata, industri itu bukan perkara baru atau mustahil, malah turut dilakukan di negara lain seperti di Eropah.

Beliau berkata, penemuan tapak paleolitik Bukit Bunuh, Lenggong, Perak dan tamadun Sungai Batu, Lembah Bujang, Kedah menyebabkan banyak pihak sedar mengenai kepentingan bumi dan lokasi Semenanjung Malaysia kepada rantau ini dan dunia.

"Hasil kajian sejak 2009, penemuan tapak Bukit Bunuh,Lenggong Perak mendedahkan bukti wujudnya masyarakat Paleolitik tertua di dunia yang berusia 1.83 juta tahun dahulu dan ini bermakna kita mempunyai bukti penting prasejarah pada peringkat dunia.

"Kajian pada tamadun Sungai Batu, Lembah Bujang pula mendedahkan wujudnya masyarakat paling awal bagi tamadun Asia Tenggara iaitu pada 535 sebelum Masihi dan penemuan ini menyumbangkan data sangat penting yang akan menjadi kajian pada masa akan datang," katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Syarahan Umum Pelantikan Profesor di Dewan Budaya USM, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Timbalan Pengarah PPAG USM Prof Dr Stephen Chia Ming Soon yang mengulas mengenai isu dan cabaran dalam pelindungan serta pemuliharaan warisan negara berkata, cabaran utama negara kini adalah menyediakan peluang pekerjaan kepada graduan dalam bidang arkeologi.

"Generasi muda sekarang mula meminati untuk menceburi bidang ini, ramai yang mahu menyambung pelajaran ke peringat Ijazah Sarjana (Master) dan Doktor Falsafah (PhD) tetapi bidang ini tidak menjanjikan peluang pekerjaan kepada mereka," katanya.

Pada 28 Mac lalu, USM mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi Institusi Pengajian Tinggi (IPT) pertama negara yang menawarkan pakej arkeo-pelancongan.

Antara elemen ditawarkan menerusi pakej berkenaan ialah aktiviti lawatan berpandu, ekskavasi, eksperimen pembuatan bata, eksperimen peleburan besi, pembuatan alat batu, penghasilan replika artifak dan lain-lain lagi.

USM adalah satu-satunya universiti di rantau ini mempunyai Galeri Arkeologi sendiri yang mempamerkan kajian dan penemuan pelbagai artifak dari zaman prasejarah selain menempatkan bukti terawal manusia dari zaman Paleolitik, Neolitik dan tamadun awal selepas Logam serta data masyarakat Orang Asli melalui kajian dijalankan PPAG.

Disiarkan pada: July 12, 2017 @ 11:11pm
d