mutakhir

Najib seru penyelesaian krisis GCC dicari

Oleh BERNAMA

PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru semua pihak untuk melibatkan diri secara positif dengan usaha Kuwait yang menjadi pengantara dalam mencari jalan penyelesaian kepada krisis Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang masih berterusan.

Najib juga menggesa kesemua pihak mengambil langkah segera mematuhi segala persetujuan yang dicapai oleh negara GCC, terutamanya Perjanjian Riyadh 2014.

Beliau berkata, Malaysia percaya perjanjian itu merupakan asas kepada penyelesaian krisis semasa yang boleh diterima.

“Malaysia menyokong kuat usaha oleh Amir Kuwait untuk menjadi orang tengah kepada ketegangan yang meningkat ini, dan kami sedia membantu jika sumbangan kami diperlukan. Kami sentiasa mendukung prinsip tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara lain yang berdaulat dan menggesa semua negara melakukan perkara yang sama,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Najib berkata, Malaysia menghargai keprihatinan Arab Saudi dalam krisis semasa dan menggalakkan kesemua negara yang cintakan keamanan menyokong usaha untuk menamatkan krisis ini.

Beliau juga berkata, Malaysia memaklumi peranan penting Kerajaan Arab Saudi sebagai pemberi panduan kepada kestabilan di Teluk, juga peranannya untuk menjaga perpaduan ummah.

“Oleh kerana ini, kesemua pihak perlu memastikan keselamatan dan kestabilan Arab Saudi sebagai Penjaga Dua Kota Suci, dilindungi dan dipelihara dengan sedaya upaya,” katanya.

Beliau berkata Malaysia berasa bangga terlibat dalam Sidang Kemuncak Riyadh 2017, yang mana Kuala Lumpur mengulangi sokongannya dalam menentang keganasan dan ekstremisme kekerasan, “sebagai mana kami berbangga dan mendapat penghormatan menjadi tuan rumah kepada Raja Salman Bin Abdulaziz Al-Saud di Kuala Lumpur awal tahun ini.”

Arab Saudi, Mesir, Yaman, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain memutuskan ikatan diplomatik dengan Qatar pada 5 Jun lalu dan mendakwa negara Teluk itu menyokong organisasi pengganas.

Perdana Menteri berkata, Malaysia memantau dengan rapi keadaan di Dunia Arab, terutamanya Arab Saudi, UAE, Bahrain, Mesir dan Qatar.

“Kami berdoa dengan limpah kurnia Allah Yang Maha Berkuasa, kesemua perbezaan dalam kalangan saudara Arab kami akan dapat diselesaikan secara damai dan perpaduan serta keharmonian negara GCC akan dapat dipulihkan,” katanya.

Disiarkan pada: July 12, 2017 @ 11:36pm
d