mutakhir

qurbanmudah.com mudahkan korban

Kuala Lumpur: Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) memperkenalkan sebuah portal dikenali sebagai qurbanmudah.com bertujuan memudahkan lagi urusan pelaksanaan ibadat korban menjelang Aidiladha akan datang.

Pengurus Besar Serantau Muslim Mohd Hakim Mohd Nor berkata, portal berkenaan dibangunkan sepenuhnya pertubuhan itu yang mengambil masa selama dua tahun sebelum mula beroperasi minggu ini.

Menurutnya, portal yang bertemakan Mudah, Telus dan Berkat itu turut mendapat sokongan beberapa mufti di negara ini bagi meyakinkan umat Islam mengenai urusan ibadat korban dikendalikan badan bukan kerajaan (NGO) itu.

“Melalui portal ini, urusan korban lebih mudah kerana umat Islam hanya perlu mengisi maklumat diperlukan antaranya nama, alamat, jenis daging korban sama ada kambing ataupun lembu, jumlah bahagian dan cara bayaran.

“Semua perkara ini dilakukan secara telus dan tanpa berselindung dan untuk tahun ini, ibadat korban akan dibuat di Arakan, India dan Kenya di mana berlakunya konflik penindasan umat Islam yang lebih memerlukan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurut Mohd Hakim, harga daging korban yang ditawarkan melalui portal qurbanmudah.com juga adalah lebih rendah berbanding harga pasaran sesuai dengan tujuannya memberi peluang lebih ramai umat Islam melakukan korban.

“Harga daging lembu ditawarkan antara RM350 hingga RM450 mengikut gred untuk satu bahagian berbanding harga pasaran RM650 hingga RM700 bagi setiap bahagian.

“Harga seekor kambing pula adalah RM580 berbanding pasaran RM850 hingga RM900 seekor.

“Semua haiwan ternakan ini akan dibeli daripada pengusaha ternakan di lokasi ibadat korban dilakukan khususnya buat etnik Rohingya di Arakan pada pagi kedua Aidiladha, 2 September ini,” katanya.

Disiarkan pada: July 13, 2017 @ 7:43am
d