mutakhir

'Saya memang suka belajar'

Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: “Saya mahu berkhidmat untuk masyarakat Malaysia, seterusnya melanjutkan pelajaran bagi menjadi pakar perubatan,” kata pelajar perubatan terbaik Malaysia di Universiti Perubatan Warsaw, Poland, Nor Syahirah Mohd Nor, 26, yang menerima Anugerah Golden Graduation.

Wanita berasal dari Masjid Tanah, Melaka ini memperoleh gred purata kumulatif atau CGPA 4.7, sekali gus mengetepikan lebih 70 pelajar perubatan lain di universiti sama dari Kesatuan Eropah, Timur Tengah dan juga Malaysia untuk menerima anugerah terbabit.

Menurutnya, selama enam tahun ‘berjuang’ untuk memperoleh Ijazah Perubatan, dia terpanggil untuk pulang dan berkhidmat di negara ini.

“Saya mahu menjadi doktor di Malaysia, seterusnya berhasrat melanjutkan pelajaran untuk menjadi doktor pakar pula,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang enam tahun pengajiannya di universiti itu, dia memperoleh CGPA tinggi antara 4.7 hingga 5 bersama rakan serumahnya, Nur Aini Sharkhan.

“Saya bersama Nur Aini rakan serumah, satu kumpulan dan sekelas. Kami banyak membantu satu sama lain untuk menamatkan pelajaran dalam bidang ini.

“Alhamdulillah, kerja keras saya selama ini berbaloi, sekali gus mengharumkan nama Malaysia,” kata anak bongsu daripada tiga beradik itu.

Nor Syahirah berkata, dia meminati bidang perubatan sejak di bangku sekolah dan akan memastikan subjek berkaitan perubatan lulus dengan cemerlang.

“Saya mendapat 9A dalam Peperiksaan Menengah Rendah di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Ghafar Baba, Melaka manakala dalam Sijil Pelajaran Malaysia pula mencatatkan 9A1 di Sekolah Menengah Sains Muar, Johor.

“Saya kemudian melanjutkan pelajaran dalam program International Baccalaureate di Kolej Persediaan MARA, Seremban pada 2009, sebelum meneruskan pengajian dalam bidang perubatan di Warsaw,” katanya yang baru mendirikan rumah tangga dengan Zyad Hadrami Nasaruddin, 29, pada Aidilfitri kelima, baru-baru ini.

Beliau turut berkongsi petua untuk kekal cemerlang iaitu pentingnya konsisten dalam belajar, selain kesabaran jitu dalam mengulang kaji pelajaran.

“Saya sangat suka belajar dan bersemangat setiap kali melihat buku. Disebabkan itu, saya berjaya mengekalkan kecemerlangan sepanjang enam tahun pengajian.

“Selain itu, dorongan ibu bapa sangat penting dalam memberi semangat terutama ketika menghadapi peperiksaan,” katanya.

Sebelum ini, Duta Malaysia di Poland Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin mengucapkan tahniah kepada tiga pelajar terbaik perubatan dari Malaysia yang muncul antara 10 pelajar memperoleh markah tertinggi dengan pingat emas diraih Nor Syahirah.

Ketika mengucapkan tahniah kepada ketiga-tiga pelajar berkenaan, Fadil turut memuji tujuh pelajar Malaysia dalam kumpulan sama kerana berjaya memperoleh ijazah perubatan mereka.

Beliau menyifatkan pencapaian pelajar itu sebagai satu kebanggaan bagi Malaysia dan mencerminkan persediaan negara ke arah Transformasi Nasional 2050.

Sepuluh pelajar berkenaan adalah kumpulan pertama yang menamatkan pengajian di Universiti Perubatan Warsaw di bawah biasiswa MARA manakala kumpulan kedua terdiri daripada 21 pelajar akan memperoleh ijazah mereka pada 2018.

Disiarkan pada: July 13, 2017 @ 10:18am
d