mutakhir

Kanak-kanak mangsa rabies meninggal dunia

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

KANAK-kanak perempuan berusia tujuh tahun dari Kampung Lebor, Serian, yang mengidap wabak rabies disahkan meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak pada 2.16 petang, hari ini.

Mangsa, Alicesa Lorenna Nody meninggal dunia selepas dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HUS sejak 28 Jun lalu.

Kematian mangsa itu disahkan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataan media hari ini.

Menurutnya, seorang lagi kanak-kanak berusia lima tahun dalam keadaan kritikal dan masih mendapat pemantaun khusus di HUS.

"Tiada kes rabies baru dilaporkan setakat ini. Jumlah kematian tiga orang manakala seorang lagi masih kritikal dan menerima rawatan.

"Kementerian Kesihatan Malaysia menasihatkan orang ramai yang tinggal di Serian mengambil langkah pencegahan bagi mengelak dijangkiti wabak berkenaan," katanya.

Kematian kanak-kanak itu menjadikan jumlah keseluruhan yang meninggal dunia akibat wabak rabies meningkat kepada tiga orang.

Difahamkan, keluarga kanak-kanak malang itu sudah membawa pulang mayat ke kampungnya untuk pengebumian.

Sebelum ini, dua beradik Monica Mazlan dan Jackson Mazlan masing-masing berusia enam dan empat tahun meninggal dunia 4 Julai lalu, akibat wabak sama.

Disiarkan pada: July 13, 2017 @ 4:25pm
d