mutakhir

Menghidupkan semula sunnah Nabi Muhammad SAW

Oleh Hairie Norli

MASJID dan surau di seluruh Pulau Pinang melaungkan azan sebanyak dua kali bagi waktu Subuh sejak 6 Julai lalu selepas Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang April lalu memutuskan pelaksanaan itu.

Pelaksanaan itu dimaklumkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) kepada seluruh masjid dan surau menerusi surat pekeliling yang diedarkan pada tarikh berkenaan.

Mufti Pulau Pinang Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, pelaksanaan azan Subuh dua kali bukanlah perkara baharu, sebaliknya ia sebagai usaha bagi menghidupkan semula sunnah Nabi Muhammad SAW ketika hayat baginda.

"Bagi pelaksanaan ini, azan pertama akan dilaungkan sekitar 30 minit sebelum masuk waktu Subuh (fajar) dan azan kedua pula akan dilaungkan apabila masuk waktu Subuh dengan kedua-dua azan itu sunat disebut kalimah 'assolatu qoirul minan naum' (al-Tashwib).

"Kita melaksanakan perkara ini untuk menghidupkan semula sunnah yang telah lama kita tinggalkan," katanya ketika dihubungi di Georgetown, hari ini.

Wan Salim berkata, pelaksanaan itu tidak wajib dilakukan sebaliknya terpulang kepada Pihak Jawatankuasa Kariah Masjid itu sendiri.

"Jika ada masjid atau surau mahu melaksanakan azan Subuh dua kali, itu dianjurkan (digalakkan), tetapi harus diingatkan ia amalan sunnah dan bukanlah diwajibkan.

"Pihak jawatankuasa kariah hendaklah memaklumkan terlebih dahulu kepada ahli kariah berkaitan pelaksanaan azan dua kali ini, agar tidak menimbulkan sebarang kekeliruan kepada mereka kelak," katanya.

Pelaksanaan azan Subuh sebanyak dua kali telah dilaksanakan di Pahang pada Mei lalu.

Perkara itu diumumkan Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip), Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan menerusi surat pekeliling selepas mendapat perkenan Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri.

Disiarkan pada: July 13, 2017 @ 6:15pm
d