mutakhir

MyKid kini sehari

Oleh Helmy Abd Rahman

URUSAN berkaitan pengeluaran MyKid dapat disiapkan dalam tempoh sehari di 17 Pusat Transformasi Bandar (UTC) di seluruh negara mulai Ogos ini, kata Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Pendaftaran Negara Datuk Mohd Zahari Hassan.

Beliau berkata, untuk permulaan, mesin pengeluaran MyKid akan dipasang di UTC Kuala Terengganu pada 19 Julai ini, diikuti UTC lain selepas itu.

"Kita jangka semua mesin berharga RM76,000 seunit ini boleh digunakan di semua 17 UTC seluruh negara pada Ogos nanti.

"Permohonan pendaftaran kelahiran yang dibuat akan menerima sijil kelahiran dan MyKid dalam tempoh 24 jam berbanding sebelum ini, 30 hari," katanya pada sidang media selepas merasmikan Hab Percetakan Teragih MyKad Negeri Terengganu di PB Square di Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Pengarah JPN negeri Mohammad Nasir Kareem.

Mengulas lanjut, Mohd Zahari berkata, selain MyKid, sistem pengeluaran MyKad turut ditambah baik menerusi penyediaan mesin pencetak MyKad yang bernilai RM300,000 setiap satu.

"Kita menyediakan dua unit mesin ini dengan di 36 hab percetakan di seluruh negara. Dengan sistem ini, tempoh siap MyKad dapat dipendekkan kepada 24 jam saja.

"Bagi Terengganu, hab untuk Kuala Terengganu, Hulu Terengganu dan Marang adalah di UTC; Besut menjadi subhab untuk Besut dan Setiu manakala Dungun untuk kawasan Dungun, Kertih dan Kemaman," katanya.

Disiarkan pada: July 13, 2017 @ 7:09pm
d