mutakhir

Dua dah kena tahan, dua lagi mana mau lari

Oleh Recqueal Raimi

DUA daripada empat suspek yang melakukan samun bersenjata di sebuah stesen minyak di Kampung Taginambur, Kota Belud, 11 Julai lalu, diberkas polis kelmarin dan semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Belud Superintendan Mohd Zaidi Abdullah berkata, kedua-dua suspek berusia 25 tahun dan seorang daripadanya ditahan di Kampung Sangkir manakala seorang lagi menyerah diri.

“Suspek pertama ditahan pada petang 11 Julai lalu manakala suspek kedua menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud, keesokan harinya.

“Kami merampas sebuah Perodua Alza dan sebuah Perodua Kenari yang digunakan suspek untuk melakukan jenayah,” katanya, tadi.

Mohd Zaidi berkata, pihaknya masih mengesan dua lagi suspek.

“Ops Tutup masih dijalankan bagi mengesan dua lagi suspek yang bebas dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil atau menghubungi IPD Kota Belud di talian 088-973308 bagi membantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan menggunakan senjata.

Pada kejadian jam jam 12.30 tengah hari itu, seorang pekerja wanita berusia 48 tahun diacu pisau dilehernya sebelum dipaksa menyerahkan beg sandang miliknya mengandungi wang tunai RM4,000.

Disiarkan pada: July 13, 2017 @ 7:51pm
d