mutakhir

Op Noda selamatkan 19 wanita

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

SERAMAI 19 wanita warga asing yang digunakan untuk perkhidmatan seks atau dijadikan tukang urut, diselamatkan polis dalam operasi di tujuh buah premis yang berselindung di sebalik kedai refleksologi atau pusat kecantikan sekitar Johor Bahru, semalam.

Op Noda oleh Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG) Bukit Aman bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor itu berjaya menyelamatkan 19 wanita warga asing berusia antara 20 hingga 35 tahun.

Ketua Operasi, Superintendan Mohd Shokri Abdullah berkata, dalam operasi bermula 7.45 malam itu, polis turut menahan 17 penjaga premis atau pekerja berusia antara 35 hingga 45 tahun selain tiga lelaki warga asing dan 44 wanita warga asing.

"Kita menahan dua lelaki warga China dan seorang Indonesia, manakala 21 wanita warga Vietnam, 18 warga China dan lima wanita Thailand yang semuanya berusia antara 20 hingga 38 tahun turut ditahan.

“Polis turut merampas pelbagai barangan, termasuk sembilan telefon, empat mesin mengira, jadual kerja, 28 tuala mandi, 10 minyak urut, 115 kondom, lima tisu, lima buku catatan perniagaan, lima alat kawalan jauh, lesen perniagaan dan wang tunai RM11,565," katanya.

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 39(b) Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 55b dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan Negeri Johor, Seksyen 372B Kanun Keseksaan serta Seksyen 12 dan 44 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Operasi yang dijalankan itu membabitkan 17 pegawai dan 26 anggota polis.

Disiarkan pada: July 13, 2017 @ 7:57pm
d