mutakhir

423 pelajar dan murid sekolah agama Johor cemerlang

Oleh Mary Victoria Dass

SERAMAI 423 pelajar serta murid sekolah agama di seluruh Johor menerima Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan Sekolah Agama Negeri Johor 2016 di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar Johor Bahru di sini, tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri Abd Mutalip Abd Rahim berkata, majlis penganugerahan itu adalah pengiktirafan jabatan dan kerajaan negeri kepada pelajar dan murid yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam akademik.

Beliau berkata, ia diharapkan akan menyuntik semangat buat pelajar dan murid lain untuk meningkatkan pencapaian masing-masing pada masa depan.

Menurutnya, penerima anugerah terdiri daripada 249 pelajar peringkat menengah, 154 murid peringkat rendah daripada 241 sekolah rendah dan tujuh sekolah menengah agama.

Katanya, penerima anugerah terdiri daripada pelajar sekolah menengah yang menduduki peperiksaan bersijil agama kerajaan negeri iaitu sijil intensif bahasa di tingkatan satu termasuk penilaian bagi menguji kemahiran bahasa Arab dan Bahasa Inggeris.

“Ia juga merangkumi pelajar yang menduduki Sijil Menengah Rendah Agama (SMRA) di tingkatan dua dan sijil menengah agama di tingkatan empat.

“Malah, pelajar serta murid sekolah agama yang menunjukkan prestasi cemerlang pada peperiksaan Sijil Menengah Agama di Tingkatan 4 (SMA), Sijil Darjah Khas Agama (SDKA), Sijil Darjah Enam Agama (SDEA) dan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) turut menerima anugerah itu.

“Selain itu, anugerah disampaikan kepada mereka yang menduduki Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR),” katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan Tahun 2016 UPKK, UPSR, SDEA, SDKA, PT3, SMA, SMRA, SPM dan STAM Sekolah Agama Kerajaan Johor di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar Johor di Johor Bahru di sini.

Abd Mutalip berkata, dalam gelombang transformasi pendidikan yang begitu dinamik dengan kemajuan sains dan teknologi serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang menjadi nadi perubahan, sudah pasti cabarannya semakin hebat khususnya bagi memastikan pendidikan agama berjalan seiring dan diberi keutamaan.

“Kita dapat melihat pengurusan sekolah sentiasa bergerak secara proaktif demi mencapai hasrat ini, malah menjadi satu tanggungjawab bersama dalam merealisasikan pembinaan Bangsa Johor yang memiliki modal insan cemerlang sebagai pewaris generasi rabbani pada masa depan,” katanya.

Hadir sama Pengarah Jabatan Agama Islam Johor Amran A Rahman dan Pengarah Bahagian Kemajuan Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Hakimah Mohd Yusof.

Disiarkan pada: July 13, 2017 @ 8:22pm
d