mutakhir

Industri kenaf memberangsangkan

Oleh Ismail Muhamad

PEMBANGUNAN industri kenaf perlu dilaksana secara terancang dan menyeluruh bagi memastikannya terus berkembang dan memanfaatkan semua pihak berkepentingan.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, tanggungjawab itu perlu dipikul Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) supaya industri kenaf maju di peringkat domestik dan antarabangsa.

"Industri ini menunjukkan perkembangan memberangsangkan dengan peningkatan permintaan domestik dan antarabangsa selain kepelbagaian produk yang dihasilkan tahun demi tahun. "Dengan perkembangan teknologi dan inovasi, kenaf bukan sahaja ditanam untuk mendapatkan fiber dan core semata-mata tetapi biji dan daunnya telah dikenal pasti berpotensi untuk dikomersialkan bagi menghasilkan produk makanan serta kesihatan.

"Mengambil kira itu, LKTN perlu mengambil tindakan proaktif untuk meneliti isu yang dibangkitkan pihak berkepentingan supaya sebarang pertimbangan akan dapat dilakukan sebaik mungkin untuk kemajuan industri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Citra LKTN 2017 di Kota Bharu, malam ini.

Mah berkata, transformasi menyeluruh LKTN juga akan memastikan sektor huluan dan hiliran dalam industri itu menerima manfaat yang maksimum.

Terdahulu, seramai 26 kakitangan LKTN terpilih menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), seorang kakitangan terima sijil 25 tahun perkhidmatan dan 10 orang lain pesara LKTN menerima sijil penghargaan.

Hadir sama pada majlis itu adalah Pengerusi LKTN, Datuk Mohd Adhan Kechik dan Ketua Pengarah LKTN, Samsudin Noor.

Disiarkan pada: July 14, 2017 @ 1:40am
d