mutakhir

Alhamdulillah... selamat ditemui

Oleh Nursyahirah Marzuki

PEGAWAI penerangan Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) Angkasapuri, Kuala Lumpur yang dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu sudah ditemui dan kini dirawat di wad Neurologi, Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner Rosly Hassan berkata, maklumat terkini yang diperoleh pihaknya memaklumkan lelaki dikenali sebagai Badaruddin Hamzah berada dalam keadaan sedar namun tidak mengenali orang sekeliling.

"Maklumat itu diperoleh selepas isterinya, Roziah Harun menghubungi majikan suaminya memaklumkan lelaki itu sedang dirawat di HKL," katanya ketika dihubungi Harian Metro di Putrajaya, hari ini.

Rakan Roziajh yang enggan dikenali berkata, lelaki berkenaan ditemui pengawal keselamatan di tangga KL Sentral, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

"Ketika itu, keadaannya sangat lemah. Malah, ketika menerima rawatan doktor memaklumkan dia tidak boleh menerima apa-apa arahan dan tidak kenal sesiapa.

"Namun, selepas memanggilnya beberapa kali barulah dia mengenali saya, seterusnya saya memaklumkan kepada isterinya bahawa suaminya berada di HKL," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Roziah, 46, ketika dihubungi berkata, dia sedang ke HKL untuk berjumpa dengan suaminya.

"Saya belum jumpa suami dan saya tidak dapat menceritakan mengenai kehilangan suami dan tidak boleh memberi sebarang kenyataan mengenai keadaannya ketika ini.

"Minta maaf, saya masih dalam perjalanan ke HKL untuk berjumpa dengan suami," katanya.

Kehilangan lelaki berusia lewat 40-an itu tular di media sosial mulai semalam.

Dia itu dilaporkan keluar dari rumahnya di Presint 9, Putrajaya untuk bekerja di IPPTAR Angkasapuri, Kuala Lumpur namun, difahamkan dia tidak melaporkan diri pada tarikh berkenaan.

Disiarkan pada: July 14, 2017 @ 11:53am
d