mutakhir

Hutang budi dengan Malaysia

Kuala Lumpur: “Saya terhutang budi pada Malaysia. kehidupan saya dan keluarga kini bertambah baik,” ujar pelarian Rohingya, Babul Mohd Ullah, 37, bersama isteri Shahirah Habibullah, 27.

Menurutnya, status sebagai pelarian UNHCR di negara ini menyebabkan mereka tidak bimbang untuk bergerak kerana keselamatan mereka dijamin sepenuhnya.

“Malah, UNCHR juga memberi banyak bimbingan kepada kami sekeluarga untuk belajar memahami kehidupan serta sifat rakyat Malaysia,” katanya.

Katanya, sifat ramah serta hormat menghormati dalam kalangan masyarakat menyebabkan dia dan keluarga tidak kekok bergaul bersama komuniti setempat meskipun berlainan latar belakang.

“Pihak UNHCR turut melaksanakan beberapa program bersama masyarakat tempatan dan kini saya dan keluarga lebih berani bergaul dengan rakyat tempatan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Eliyas Esof, 33, yang juga pelarian Rohingya mendakwa terpaksa melarikan diri susulan pembunuhan besar-besaran umat Islam di Rakhine, Myanmar.

“Saudara-mara saya ramai yang terbunuh. Mujur saya berjaya melarikan diri dengan menaiki kapal ke Malaysia bersama ramai mangsa lain.

“Pihak UNHCR membantu saya memulakan hidup baru dan berdikari melakukan pelbagai pekerjaan di sekitar ibu kota. Kini saya bekerja sebagai penebar roti canai di sebuah kedai di Kampung Baru,” katanya.

Disiarkan pada: July 14, 2017 @ 12:13pm
d