mutakhir

Simbol anak FELDA

Bangi: Asmawi Ani atau lebih popular dikenali sebagai Mawi yang mencipta fenomena seni tanah air, bersyukur dengan ilmu tidak formal yang dipelajarinya sejak kecil di FELDA Taib Andak, Kulai, Johor sehingga membolehkannya mengecapi kejayaan hari ini.

Anak muda yang menjuarai program realiti televisyen Akademi Fantasi 3 berdasarkan undian orang ramai pada 2005 itu berkata, bimbingan dan tunjuk ajar arwah bapanya, Ani Ahmad serta pengalaman yang diperoleh ketika menyertai Majlis Belia Felda Malaysia banyak mengajarnya untuk berjaya dalam setiap bidang yang diceburi.

​​​​​​ “Arwah bapa saya, Ani Ahmad selalu berpesan kepada saya, bila kita bersyukur, kita akan rasa cukup,” kata Mawi, 35, yang cukup sinonim dengan slogan ‘World’ sewaktu menyertai pertandingan berkenaan.

Kejayaan manis Mawi menjuarai pertandingan itu mencetuskan gelombang ‘tsumawi’ dalam kalangan pengikut rancangan itu sehinggakan namanya meniti di bibir kanak-kanak dan warga tua selain imej ‘ustaz’ yang dibawanya membolehkan ‘Raja SMS’ berkenaan menonjol berbanding peserta lain.

Kemunculan Mawi dalam dunia hiburan tanah air membawa satu cerita kejayaan bagaimana seorang anak FELDA berjaya mencipta nama dengan sikap merendah diri dan juga bakat yang dimilikinya.

Dalam satu temu bual sempena program Ekspresi Felda Negaraku Malaysia yang akan berlangsung dari 21 hingga 23 Julai ini, Mawi berkata, beliau sentiasa teringat pesan bapanya yang sering menyuruh beliau mengutip buah kelapa sawit yang terlerai daripada tandan untuk dijual kerana ‘ini semua duit’.

“Jadi, bila dah diterapkan dari kecil konsep bersyukur itu, segala apa yang saya dapat saya amat bersyukur, Alhamdulillah,” katanya.

Bertemakan ‘Bakti Disemai, Bukti Dituai’, program selama tiga hari sempena sambutan Hari Peneroka Felda Peringkat Kebangsaan 2017 itu akan diadakan di Dataran Persiaran Perdana, Presint 3, Putrajaya dari 21 hingga 23 Julai ini.

Seramai 50,000 pengunjung dijangka memeriahkan program itu.

Mawi yang berkahwin dengan Nora’ Asikin Rahmat atau Ekin, 37, dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan berkata, selain kariernya sebagai penyanyi dan pelakon, beliau menubuhkan sebuah syarikat produksi, Mawi World Entertainment.

Beliau dan isterinya turut membuka butik di Bandar Baru Bangi untuk menjana pendapatan. - BERNAMA

Disiarkan pada: July 14, 2017 @ 12:19pm
d