mutakhir

Bomba sahkan tiada mangsa tertimbus

Oleh Fatin Fazlina Yaakob dan Hairie Norli

JABATAN Bomba dan Penyelamat menamatkan operasi selepas mengesahkan tiada mangsa terperangkap dalam rumah ibadat Cina yang ditimpa tanah runtuh dekat kawasan perumahan Taman Lau Geok Swee, Paya Terubong, Pulau Pinang.

Cerun bukit di kawasan berkenaan runtuh kira-kira 9 pagi berikutan hujan lebat berterusan selama enam jam sejak 1 pagi hari ini, yang menyebabkan tanah runtuh, pokok tumbang dan banjir kilat di beberapa kawasan Pulau Pinang.

Bomba bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 10.40 pagi kerana seorang mangsa disyaki terperangkap dalam runtuhan yang menimpa sebuah rumah ibadat di situ.

Bagaimanapun, menurut jurucakap bomba operasi mencari ditamatkan pada 4 petang selepas disahkan tiada mangsa terperangkap.

Beberapa kawasan sekitar Georgetown dilanda banjir kilat, termasuk Jalan P Ramlee, Jalan Transfer, Jalan Masjid Negeri, Jalan Scotland dan beberapa kawasan rendah.

Tinjauan mendapati kawasan berkenaan dinaiki air sehingga 0.5 meter, termasuk limpahan banjir lumpur sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Seorang mangsa, Abu Bakar Ismail, 57, berkata hujan lebat menyebabkan laluan utama penduduk di sekitar Jalan P Ramlee dinaiki air.

"Air mula naik pada 6 pagi tadi dengan arus deras menyebabkan kenderaan ringan tidak dapat keluar ke jalan utama," katanya.

Difahamkan, kejadian banjir ini adalah kali ketiga membabitkan kawasan sama tahun ini dan kerja-kerja pembersihan sedang dilakukan oleh pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) seawal 10 pagi.

Disiarkan pada: July 14, 2017 @ 5:43pm
d