mutakhir

Kenapalah buat begini...

Oleh Nurul Huda Kosnon

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) merekodkan dua kes baling batu sehingga cermin komuter pecah pada tahun ini.

Terbaru, kes vandalisme itu berlaku di laluan antara Bukit Mertajam ke Simpang Ampat, Pulau Pinang pada 8 Julai lalu.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, cermin di bahagian pemandu pecah manakala cermin di bahagian penumpang retak.

Malah, kejadian berkenaan turut tular di laman sosial, baru-baru ini apabila dikongsi pengguna Facebook yang rata-ratanya mengharapkan supaya KTMB mengambil tindakan sewajarnya.

Menurut Pengurus Komunikasi Korporat KTMB,Siti Badariah Wan Hanafi, pada tahun ini pihaknya menerima dua kes berhubung baling batu iaitu pada Jun dengan satu kes dan kes terbaru adalah pada 8 Julai lalu.

"Pihaknya sering berdepan masalah vandalisme terutama membabitkan baling batu sehinga menyebabkan pengangkutan milik agensi itu pecah dan retak selain turut mengesan ia dilakukan golongan tidak berganggungjawab termasuk kanak-kanak.

"Setakat ini KTMB sudah pun membuat laporan polis berhubung kejadian seperti ini untuk tindakan selanjutnya.

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak melakukan vandalisme kerana ia akan membahayakan keselamatan pemandu dan penumpang perkhidmatan pengangkutan ini," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Katanya,KTMB turut mendekati orang ramai menerusi pelbagai kempen berkaitan pencegahan jenayah dan anti-vandalisme di tempat awam, sekolah dan kawasan perumahan berhampiran trek laluan komuter.

"Kami prihatin dalam aspek keselamatan yang mana pengangkutan di bawah kendalian agensi ini sentiasa menjalankan pemeriksaan terhadap tren dan komuter bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

"Ia sudah menjadi rutin harian sebelum melakukan operasi bagi memastikan setiap perjalanan tidak mengalami masalah," katanya.

Katanya, beberapa lokasi 'panas' sudah dikenal pasti iaitu membabitkan laluan antara Bukit Mertajam ke Simpang Ampat.

"Pihak kami kini giat menjalankan operasi bagi memastikan kejadian seperti ini tidak berulang.

"Tindakan undang-undang juga boleh diambil kepada pihak yang tidak bertanggungjawab berdasarkan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010(Akta 715) Seksyen 130, jika sabit kesalahan boleh didenda sebanyak RM50,000 dan 20 tahun penjara," katanya.

Pada 2016 lalu, KTMB menanggung kerugian lebih RM 6 juta bagi menampung kos menggantikan lebih 1,300 unit tingkap pecah akibat vandalisme.

Sebanyak 19 kes dilaporkan sepanjang tahun lalu berhubung kejadian itu.

Disiarkan pada: July 14, 2017 @ 10:15pm
d