mutakhir

Terpacak tembus cermin kereta

Oleh Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail

Kuala Lumpur: “Batang besi menjunam jatuh sebelum terpacak menembusi cermin kereta penduduk di sini sejurus ribut melanda,” ujar penghuni Pangsapuri Alpha Villa, Wangsa Maju, Adelina Abdullah, 45.

Dalam kejadian jam 9 malam kelmarin, bahagian bumbung kediaman itu diterbangkan ribut dan jatuh menimpa tujuh kereta dan dua motosikal.

Adelina berkata, kejadian itu amat menakutkan apabila dia sempat mendengar bunyi angin menderu kuat selama kira-kira setengah jam.

“Kami kemudian dikejutkan dengan kejadian bumbung di bahagian atas pangsapuri tercabut dan menghempap beberapa kereta yang diletakkan di kawasan parkir.

“Beberapa penghuni kemudian segera pergi ke ruang parkir bagi memeriksa keadaan. Malah ada antara mereka segera mengalihkan kenderaan masing-masing ke tempat selamat,” katanya.

Bagaimanapun, pemilik kenderaan yang mendapati kenderaan mereka rosak ditimpa besi dan bumbung terpaksa menunggu pasukan bomba datang untuk mengalihkan sisa runtuhan.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Wangsa Maju, Zaid Zainal berkata, tujuh anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 10.04 malam.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, pihaknya mendapati bumbung dan kerangka besi jatuh dan merosakkan beberapa kenderaan.

Disiarkan pada: July 15, 2017 @ 8:05am
d