mutakhir

Angkara khianat?

Kuala Lumpur: Adakah empat motosikal yang terbakar akibat perbuatan khianat atau sebaliknya?

Persoalan itu timbul susulan kejadian kebakaran membabitkan empat motosikal milik penduduk di Blok E Flat Danau Kota, Jalan Genting Klang, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, penduduk di blok berkenaan terkejut apabila mendapati api marak dengan pantas dan membakar motosikal yang diletakkan di kawasan parkir.

Difahamkan, beberapa penduduk cuba memadamkan kebakaran dengan menggunakan air sebelum bantuan tiba di lokasi.

Ketua Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur Zamani Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.07 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setapak ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi didapati empat motosikal yang diparkir di bawah bangunan itu terbakar,” katanya.

Menurutnya, dua motosikal musnah sepenuhnya, manakala dua motosikal lagi mengalami kesan terbakar 80 peratus.

“Anggota kami kemudian bertindak memadamkan kebakaran dengan menggunakan satu aliran hos air.

“Api berjaya dikawal pada jam 10.23 malam dan kejadian itu tidak membabitkan kemalangan jiwa,” katanya.

Dia berkata, unit forensik bomba masih menjalankan siasatan terperinci berhubung punca kejadian.

Disiarkan pada: July 15, 2017 @ 8:11am
d