mutakhir

Pejabat JPN diserbu

Oleh Abdul Rahemang Taiming

Tawau: Gara-gara penyebaran hebahan palsu yang tular di laman sosial mengenai penamatan permohonan kad pengenalan Pemastautin Sementara (MyKas) dan Pemastautin Tetap (MyPR), ratusan orang menyerbu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Tawau, pagi semalam.

Pejabat JPN di Pusat Transformasi Bandar (UTC) diserbu sejak awal pagi sehingga ada menunggu jam 6.30 pagi.

Berikutan itu, Timbalan Pengarah JPN Sabah, Adrian Allan Richard, menafikan pihaknya membuka permohonan berkenaan yang kononnya berakhir semalam seperti tersebar di laman sosial dan aplikasi WhatsApp.

“JPN ingin menegaskan permohonan kad MyKas mula dibuka 5 Mei lalu dan tiada tempoh tertentu (tarikh tutup) untuk orang ramai memohon.

“Oleh itu, kita meminta orang ramai tidak mempercayai hebahan berkenaan kerana ia tidak benar dan palsu.

“Kita tidak menolak kemungkinan ia dilakukan pihak tidak bertanggungjawab bertujuan mengambil kesempatan dengan mengaku sebagai ejen bagi memperdaya orang ramai,” katanya di pejabat JPN di UTC Tawau, di sini, semalam.

Adrian berkata, permohonan MyKas dan MyPR adalah perkhidmatan berterusan tanpa tarikh tutup dan orang ramai boleh berbuat demikian di mana-mana cawangan JPN jika memenuhi syarat ditetapkan.

“Setiap permohonan MyKas dan MyPR melalui proses ketat termasuk disemak panel Jawatankuasa Kad Pengenalan Pemastautin Sementara di peringkat ibu pejabat JPN negeri dan Putrajaya.

“Sehingga kini tiada sebarang perubahan syarat atau prosedur berkaitan urusan permohonan terbabit,” katanya.

Sementara itu, Normala Ramli, 45, dari Semporna berkata, dia bersama anaknya tiba di pejabat JPN, di sini, pada jam 7 pagi semalam selepas dimaklumkan ahli keluarga mengenai perkara berkenaan.

“Saya keluar selepas subuh dari Semporna dan tiba pada jam 7 pagi tadi, tetapi kecewa gagal mendapatkan nombor giliran.

“Tidak sangka hebahan maklumat itu tidak benar,” katanya.

Disiarkan pada: July 15, 2017 @ 8:50am
d