mutakhir

Rampas RM6.2 juta dadah

Oleh Mohd Sabran Md Sani

JABATAN Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman bersama Pasukan Khas Narkotik (STING) melumpuhkan sindiket memproses dadah disyaki syabu berikutan tertangkapnya 12 individu dalam lima serbuan di bandaraya ini membabitkan nilai rampasan dadah RM6.2 juta pada 10 Julai lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata serbuan bermula jam 6.15 petang itu membabitkan baki sindiket pemprosesan dadah yang pernah dilakukan anggotanya pada Januari lalu di Selangor dan Johor Bahru.

"Susulan daripada tangkapan sindiket pada Januari lalu, JSJNberjaya menahan sisa baki kumpulan sindiket pemprosesan dadah dalam serbuan di Perling, Larkin dan Bandar Dato Onn dengan nilai sitaan RM620,000.

"Polis menahan seramai 12 ahli sindiket termasuk seorang ahli kimia warga tempatan serta membongkar makmal dadah haram memproses dadah disyaki syabu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, sebentar tadi.

Beliau berkata, turut dirampas pelbagai jenis dadah bersama bahan kimia dan pelbagai peralatan digunakan untuk memproses dadah, empat pucuk pistol beserta 140 butir peluru dan sebutir bom tangan.

"Turut dirampas pelbagai mata wang, tujuh kenderaan, tujuh utas jam tangan dan pelbagai barangan kemas," katanya.

Katanya, tangkapan membabitkan tujuh lelaki dan lima perempuan berusia 21 hingga 58 tahun termasuk warga tempatan dan asing.

Beliau berkata, hasil siasatan pihaknya percaya dadah dihasilkan itu untuk pasaran Singapura dan Indonesia.

"Manakala bahan kimia dibawa dari Cina dan mereka mempelajari ramuan untuk memproses dadah menerusi internet," katanya.

Berikutan itu kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Disiarkan pada: July 15, 2017 @ 1:25pm
d