mutakhir

Jangan polemikkan hukuman sebat

Oleh Nur Syazwana Mansor

FOTO Amran Hamid

HUKUMAN sebat di khalayak yang diluluskan di Kelantan Rabu lalu tidak seharusnya dipolemikkan kerana ia sesuai dengan undang-undang syariah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, ia bukan sesuatu yang baru malah dilaksanakan di Tawau, Sabah sebelum ini dengan pesalah dikenakan hukuman sebat di luar penjara.

Jamil yang juga anggota Majlis Tertinggi UMNO, menegaskan hukuman rotan di tempat awan diluluskan mengikut pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017) yang bermaksud ia tidak akan membabitkan orang bukan Islam.

Katanya, hukuman seperti bilangan sebatan tetap sama dan satu-satunya perbezaan ialah tempat hukuman yang dikenakan iaitu dari dalam penjara ke luar penjara sahaja.

"Jangan jadikan hukuman sebat di tempat awam sebagai isu kerana hukuman ini sudah lama wujud di bawah undang-undang syariah.

"Kelantan hanya meminda enakmen itu dari segi tempat hukuman itu dijalankan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Pemuda UMNO Jerai di Dewan Serbaguna Guar Chempedak, di sini, hari ini.

Rabu lalu, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan meluluskan RUU Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017) yang antara lainnya membolehkan hukuman sebat dijalankan di khalayak ramai.

Disiarkan pada: July 15, 2017 @ 1:45pm
d