mutakhir

Maut rempuh tiang elektrik

Oleh Shamsudin Husin

PENEROKA FELDA Cherul 2, Chukai maut selepas kereta Proton Waja dipandunya terbabas sebelum melanggar tiang elektrik di Kilometer 28.8 Jalan Mak Lagam-Cheneh, pagi hari ini.

Mangsa, Idris Ibrahim, 61, dikatakan dalam perjalanan ke Hospital Kemaman kerana ada temujanji dengan doktor berkaitan penyakit buah pinggangnya.

Dalam kejadian pada 7.50 pagi itu, mangsa dikatakan hilang kawalan ketika melalui kawasan selekoh sebelum terbabas ke kanan jalan dan kemudiannya melanggar tiang elektrik.

Menurut anaknya, Mohd Asrol, 32, ayahnya keluar rumah kira-kira 6.30 pagi berikutan ada temujanji di hospital dan memang sudah menjadi rutinnya kerana perlu mencuci darah selepas mengidap masalah buah pinggang sejak 20014.

"Ayah juga memang biasa pergi ke hospital seorang diri dan pagi ini turut bangun awal serta menyiapkan sarapannya sendiri selepas solat Subuh," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Mohd Said Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurutnya, mayat Idris juga dibawa ke Hospital Kemaman untuk proses bedah siasat.

Disiarkan pada: July 15, 2017 @ 2:59pm
d