mutakhir

15,000 saksikan Larian Obor Sukan SEA ke-29

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

LEBIH 15,000 masyarakat pelbagai kaum menyaksikan Larian Obor Sukan SEA ke-29 dan program Fit Malaysia di Pantai Irama, Bachok, hari ini.

Ketua UMNO Bahagian Bachok, Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata, kehadiran peserta amat membanggakan yang menunjukkan mereka memberi sokongan kepada Sukan SEA akan datang dan juga mengamalkan gaya hidup sihat.

"Kebanyakan mereka adalah golongan belia yang bersemangat menyertai program itu.

"Pemilihan lokasi di Pantai Irama sangat tepat kerana peserta dapat bersantai sambil bersukan," katanya ketika ditemui selepas pelancaran Larian Obor Sukan SEA dan Fit Malaysia, di sini, hari ini.

Terdahulu, Awang Adek menerima obor daripada Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bachok, Datuk Dr Ilias Husain dan melepaskan peserta larian dari Pantai Irama dan berakhir di Sekolah Menengah Kebangsaan Pak Badol, petang ini dengan jarak 15.8 kilometer.

Larian kemudian akan ke Selising, Pasir Puteh esok sebelum obor diserahkan kepada Terengganu Isnin ini.

Disiarkan pada: July 15, 2017 @ 3:38pm
d