mutakhir

11 tahun cari

Oleh Adnan Ibrahim

Kluang: “Bukan sebulan dua tetapi hampir 11 tahun saya berusaha mengesan ibunya namun hingga kini masih gagal menemui petunjuk di mana dia berada,” kata Asmah Atan, 57, yang mengesan ibu kandung Siti Aishah M Roni, 11, yang berada di bawah jagaannya.

Asmah berkata, Siti Aishah diserahkan kepadanya ketika kanak-kanak berkenaan berusia dua hari selepas dilahirkan di Hospital Kulai oleh wanita dikenali sebagai Nurhayati, 30-an, dan suaminya, M Roni Abdul, 40-an.

Katanya, alasan suami isteri yang berasal dari Indonesia itu menyerahkan anak kepadanya adalah untuk pulang ke kampung halaman bagi menjenguk keluarga namun mereka terus menghilangkan diri tanpa berita.

“Sebaik menyedari kesulitan yang bakal dihadapi terutama sekali untuk urusan persekolahannya, saya mula membuat pencarian melalui rakan dari Indonesia dan kenalan rapat namun ia bagaikan tidak berpenghujung.

“Saya berharap Nurhayati dapat memberi maklum balas untuk bertemu dengan saya selain menguruskan perkara berkaitan dokumentasi Siti Aishah demi masa depannya,” katanya.

Menurut Asmah, hasil daripada maklumat dikumpul, M Roni kini dipercayai berada di Batu Pahat dan bekerja sebagai tukang rumah namun dia gagal mengesan lokasi Nurhayati.

“Kerjasama pasangan ini sangat diharapkan untuk kami melakukan urusan penyerahan anak angkat di pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kluang.

“Bagi mengelakkan dia daripada tercicir dalam pelajaran, kami menghantarnya ke sebuah pusat tahfiz di Kluang namun belum pasti dia boleh mendapatkan pendidikan di peringkat sekolah menengah,” katanya.

Orang ramai yang mengenali Nurhayati serta M Roni diminta menghubungi Asmah di talian 012-7630163.

Disiarkan pada: July 16, 2017 @ 6:29am
d