mutakhir

Nafi buat komunikasi palsu

Oleh Iskandar Shah Mohamed

PENIAGA mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Klang, hari ini, atas pertuduhan menggunakan laman Facebook (FB) untuk membuat penghantaran komunikasi palsu, tahun lalu.

Mohd Nazri Sulaiman, 51, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Surita Budin.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menggunakan laman FB miliknya untuk membuat dan memulakan penghantaran komunikasi palsu sifatnya iaitu gambar serta posting membabitkan parti politik dengan niat menyakitkan hati orang lain.

Ia dibaca di restoran di Kampung Sijangkang, Klang, pada 8 malam 13 September tahun lalu.

Perbuatannya itu dilakukan pada 6.42 petang 10 September tahun sama.

Justeru, Mohd Nazri melakukan kesalahan

mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Kes pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia ( SKMM)

Mohd Sophian Zakaria manakala OKS diwakili peguam Muhammad Faiz Fadzil.

Surita menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 22 Ogos depan.

Disiarkan pada: July 17, 2017 @ 11:29am
d