mutakhir

Op Patuh lima hari

Oleh Rosliza Mohamed

LEMBAGA Hasil Dalam Negeri (LHDN) Malaysia mengesan 3,445 syarikat dan individu di negara ini tidak membayar cukai melebihi tiga tahun.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LHDN (DASAR), Datuk Noor Azian Abdul Hamid berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 145 pembayar cukai di Kelantan gagal berbuat demikian.

Katanya, kegagalan mereka untuk mengemukakan borang nyata cukai atau tidak membayar cukai boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Cukai Pendapatan 1967.

"Oleh itu kita melaksanakan Op Patuh selama lima hari bermula hari ini sehingga 21 Julai ini di seluruh negara untuk memastikan mereka terbabit membayar cukai bagi mengelak dikenakan tindakan.

"Seramai 1,279 petugas akan memfokuskan aktiviti Audit Luar dan Audit Meja bagi kategori pembayar cukai syarikat dan individu yang mempunyai pendapatan perniagaan yang dikesan gagal mengemukakan Borang Nyata Cukai mereka.

"Kami juga akan jalankan siasatan cukai terhadap beberapa pembayar cukai yang dipercayai mengelak cukai," katanya pada sidang media sempena Majlis Perasmian Kunjungan Mesra Hasil Berfokus Op Patuh Peringkat Nasional di Dewan Mutiara Hasil cawangan Kota Bharu, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Cawangan LHDN Kota Bharu Shaufee Salleh.

Disiarkan pada: July 17, 2017 @ 11:50am
d