mutakhir

Orang Kajang teruja

Oleh Syazwan Msar

Kajang: Setiap hari mengharungi kesesakan lebih sejam untuk perjalanan hanya 30 kilometer. Situasi berkenaan dilalui puluhan ribu penduduk daerah ini yang bekerja di ibu kota sekali gus menggambarkan betapa peritnya kehidupan yang dilalui mereka untuk mencari rezeki.

Namun, keadaan itu bakal berakhir hari ini apabila fasa kedua Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) yang bakal beroperasi sepenuhnya dengan memberikan alternatif lain dalam menyelesaikan masalah lalu lintas selain turut mampu menjimatkan kos seharian.

Pekerja swasta, Hairuddin Omar, 31, yang menetap di Prima Saujana Kajang, di sini, berkata, rutin hariannya lima kali seminggu mengharungi kesesakan untuk ke tempat kerja di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

Katanya, perkara yang memenatkan sebelum ini bukan timbunan kerja sebaliknya mengharungi masalah kesesakan.

“Bayangkan saya perlu menyediakan kos minyak iaitu RM600 sebulan semata-mata ke tempat kerja dan ia tidak termasuk tol dan bayaran tempat letak kereta.

“Jika dilihat tempoh ke tempat bekerja iaitu sejam setengah, seolah-olah saya menetap di Seremban atau Bentong, namun hakikatnya jarak perjalanan hanya 40 kilometer saja,” katanya yang berulang-alik ke tempat kerja sejak lima tahun lalu.

Hairuddin berkata, MRT SBK memberikan kelegaan kepadanya yang setiap hari memikirkan pelbagai masalah hanya semata-mata mahu ke tempat kerja.

“MRT dapat menjimatkan masa dan wang selain menyelesaikan masalah kepada penduduk Kajang yang sebelum ini hanya bergantung kepada bas dan teksi sebagai pengangkutan awam.

“Memandangkan stesen MRT hanya terletak dua kilometer dari rumah, saya akan menggunakan sepenuhnya kemudahan terbabit untuk ke tempat kerja dan sudah pasti kos pengangkutan dapat dikurangkan,” katanya.

Sementara itu, Hamdan Abu, 59, dari Taman Desa Mewah, Semenyih, berkata, MRT diharap dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya 50 peratus masalah kesesakan lalu lintas untuk ke ibu kota.

“Ada waktunya masalah kesesakan begitu kronik malah mengambil masa sehingga dua jam untuk pergi dan pulang ke tempat kerja.

“Pada masa sama, jumlah kenderaan juga dapat dikurangkan apabila orang ramai memilih MRT sebagai pengangkutan utama untuk ke tempat kerja masing-masing,” katanya.

Disiarkan pada: July 17, 2017 @ 2:01pm
d