mutakhir

Lelaki dituduh sebabkan kematian anak tiri

Permaisuri: Seorang lelaki mengangguk tanda faham di Mahkamah Majistret Setiu, di sini, semalam terhadap pertuduhan menyebabkan kematian anak tirinya berusia lima tahun hujung bulan lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan dibuat tertuduh, Rosmanan Abdul Rahman, 38, selepas pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan berkenaan dibacakan di hadapan Majistret Tuan Ruzuaini Tuan Lah.

Tuan Ruzuaini menetapkan 16 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula dan kes dipindahkan ke Mahkamah Majistret Besut.

Mengikut kertas pertuduhan, Rosmanan dari FELDA Tenang, Hulu Besut didakwa mendera anak tirinya, Muhammad Hairi Amsyar Abdul Rahman hingga menyebabkan kematian pada 28 Jun lalu.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nur Zafirah Rosli, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Akhbar sebelum ini melaporkan Muhammad Hairi Amsyar disahkan meninggal dunia selepas didapati usus kecilnya terkoyak.

Disiarkan pada: July 17, 2017 @ 2:08pm
d