mutakhir

'Pengawal' curi motosikal

Ampang: Dua lelaki menyamar sebagai pengawal keselamatan sebelum melarikan sebuah motosikal berkuasa tinggi milik penghuni di sebuah pangsapuri di Pandan Indah, di sini.

Dalam kejadian jam 12 tengah malam kelmarin, suspek dilihat memasuki pangsapuri itu melalui pintu masuk utama dengan menaiki sebuah motosikal selain memakai jaket pengawal keselamatan.

Mangsa yang juga pemilik motosikal, Muhamad Nabil Fikri Ismail, 32, berkata kejadian berlaku ketika dia pergi ke pangsapuri itu unruk bertemu rakannya jam 3 petang.

Dia yang menunggang motosikal model KTM Duke 690R kemudian meninggalkan motosikalnya di pangsapuri itu sebelum keluar makan bersama rakannya.

“Kami pulang semula ke pangsapuri itu kira-kira jam 11 malam sebaik selesai makan malam di kawasan berhampiran.

“Saya yang berada di tingkat empat kediaman sempat mendengar bunyi enjin motosikal saya dihidupkan.

“Saya terus berlari menuju ke kawasan parkir sebelum mendapati motosikal itu hilang dilarikan dua lelaki. Saya cuba mengejar mereka, namun gagal,” katanya.

Muhamad Nabil berkata, dia kemudian meminta rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari pondok pengawal bagi mengenal pasti identiti suspek.

“Berdasarkan rakaman itu, kedua-dua lelaki itu dilihat memasuki pangsapuri dengan memakai jaket keselamatan dan menaiki motosikal di kawasan sekeliling seolah-olah mahu membuat rondaan. Mereka kemudian melarikan motosikal saya yang diletakkan di hadapan blok kediaman itu,” katanya.

Mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Pandan Indah, di sini, pada hari kejadian.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung motosikal saya atau kedua-dua suspek berkenaan boleh menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.

Disiarkan pada: July 17, 2017 @ 2:17pm
d