mutakhir

Plat motor 5 sentimeter

Oleh Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail

Kuala Lumpur: Plat pendaftaran motosikal berukuran lima sentimeter (sm). Itu ukuran tidak munasabah dipasang seorang lelaki pada motosikal miliknya.

Lelaki berusia 20-an itu ditahan polis dalam op motosikal di Stesen LRT Bangsar, di sini, kelmarin.

Nombor pendaftaran bersaiz kecil itu dikesan ditampal di depan dan belakang motosikal dengan alasan mampu mengelakkan dirakam kamera had laju ketika memecut di jalan raya atau ketika melanggar lampu isyarat.

Difahamkan lelaki terbabit pernah ditahan sebelum ini atas kesalahan sama iaitu menggunakan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi serta tidak mempunyai lesen menunggang motosikal.

Lelaki itu mendakwa tidak bernasib baik kerana sekali lagi ditahan atas kesalahan sama.

Sementara itu, Ketua Operasi, Asisten Superintendan Mohd Hasbullah Saidin berkata, lelaki itu diberikan saman dan motosikalnya antara 12 kenderaan disita dalam operasi selama dua jam itu.

“Tanda nama saya lagi besar daripada ukuran nombor pendaftaran digunakan motosikal lelaki itu.

“Penggunaan nombor pendaftaran fancy dan bersaiz kecil menjadi trend dalam kalangan penunggang motosikal.

“Kesalahan itu antara fokus polis dalam operasi dan penguatkuasaan,” katanya.

Katanya, dalam op motosikal itu 368 saman dikeluarkan, 12 motosikal disita dan dua individu disyaki mabuk ditahan.

Antara kesalahan dikesan sepanjang operasi itu ialah tiada lesen memandu, menggunakan nombor pendaftaran tidak menepati undang-undang dan cukai jalan tamat tempoh.

Disiarkan pada: July 17, 2017 @ 2:18pm
d